mutakhir

Isu Bukit Malut, kerajaan negeri tunggu penjelasan MKN

Oleh Hamzah Osman

KERAJAAN negeri Kedah akan mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu berhubung penempatan di Bukit Malut, Langkawi yang kini di bawah seliaan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebarang tindakan terhadap isu itu Bukit Malut yang didakwa turut didiami pendatang asing tanpa izin (Pati) akan ditentukan selepas mendapat penjelasan MKN.

Beliau berkata, penempatan yang didiami masyarakat dikenali sebagai Melayu Islam Kedah (MIK) itu berada di bawah bidang kuasa MKN.

"Kerajaan negeri akan mendapatkan penjelasan segera mengenai status penempatan di Bukit Malut daripada MKN dalam tempoh terdekat.

"Saya fikir MKN sudah ada rancangan yang belum didedahkan kepada umum," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) Kedah di Langkawi, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika diminta mengulas isu status penempatan Bukit Malut yang mendatangkan pelbagai persoalan kerana didakwa selain MIK, turut didiami Pati.

Katanya, tindakan kerajaan negeri berhubung kedudukan penempatan itu bergantung kepada penjelasan diberikan MKN.

"Insya-Allah kalau sudah klasifikasi sebagai bukan lagi isu keselamatan mungkin mereka akan umum, saya akan dapatkan penjelasan segera mengenainya," katanya.

Sebelum ini, isu berkaitan penempatan di Bukit Malut timbul berikutan ia didakwa menjadi lokasi pelbagai kegiatan jenayah selain timbul banyak rungutan dalam kalangan penduduk Langkawi sendiri.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, urusan penghantaran balik etnik Rohingya yang mendarat secara tidak sah di kawasan sekitar Langkawi juga menjadi tanggung jawab Kerajaan Persekutuan.

"Perkara berkaitan Rohingya dan Pati adalah isu (ditangani) Kerajaan Persekutuan, Jabatan Imigresen, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"(Yang) Terima pun Kerajaan Persekutuan dan hantar balik pun (tugas) Kerajaan Persekutuan," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 5:01pm
d