mutakhir

Rentas jalan balak kembali ke sekolah

Oleh BERNAMA

KIRA-KIRA 50 pelajar Tingkatan Lima dan Enam masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman di Gua Musang terpaksa memulakan perjalanan semalam dengan menempuh jalan balak berlumpur bagi memastikan dapat memulakan persekolahan, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Ab Aziz Yusof berkata, pelajar yang tinggal di Pos Bihai, Gob, Simpor dan Belatim itu dibawa keluar semalam menggunakan kenderaan pacuan empat roda oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan untuk kembali ke lapan sekolah di bandar itu.

"Mereka bertolak pada 9 pagi dan tiba di sekolah masing-masing pada 4 petang semalam berikutan jalan balak rosak teruk akibat hujan.

"Mereka kemudiannya menginap di asrama dan memulakan sesi pembelajaran pada hari ini seperti pelajar lain," katanya ketika dihubungi pemberita di Gua Musang, hari ini.

Beliau berkata, difahamkan masih ada sebilangan pelajar masyarakat Orang Asli yang tidak dapat kembali ke sekolah hari ini, namun mereka akan berbuat demikian pada Ahad ini menggunakan kaedah sama.

Sementara itu, Ago Along, 53, dari Pos Simpor berkata, anak perempuannya, Anis, 17, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra I, teruja dapat kembali ke sekolah hari ini.

"Walaupun anak berdepan rintangan ketika mahu kembali ke sekolah, namun saya lihat dia tetap bersemangat untuk kembali belajar selepas lebih tiga bulan berada di kampung berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Menghadapi kesukaran untuk kembali ke sekolah adalah perkara biasa bagi kami masyarakat Orang Asli kerana kurang kemudahan seperti masyarakat lain.

"Saya harap Anis belajar bersungguh-sungguh dan mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 5:58pm
d