mutakhir

Banjir paling teruk dalam tempoh 30 tahun [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

PENDUDUK Kampung Baru Orang Asli Kuala Benut, Mukim Sungai Pinggan, dekat Pontian, bimbang apabila air sungai di kampung itu melimpah sehingga menenggelamkan beberapa rumah penduduk, sejak dua hari lalu.

Penduduk kampung berkenaan, Mohd Rafie Bidi, 58, berkata, kejadian itu tidak pernah berlaku sejak dia tinggal di kampung itu sejak lebih 30 tahun lalu.

"Ini pertama kali banjir agak teruk di kawasan Pontian.

"Penduduk juga bimbang kerana cuaca masih tidak menentu dan hujan lebat setiap hari, " katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Pontian, Kapten (PA), Mohd Noorhafidzul Nordin berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan banjir di kawasan berkenaan dengan meminta penduduk terjejas berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebagai langkah berjaga-jaga.

"Ada penduduk memberi alasan air banjir masih terkawal sedangkan ada rumah penduduk sudah dimasuki air sehingga 0.5 meter.

"PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benut sudah dibuka dan boleh memuatkan ramai mangsa.

"Kita akan meminta bantuan ketua kampung bagi menasihatkan anak buahnya supaya berpindah buat sementara," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 7:22pm
d