mutakhir

Perogol wanita Nigeria ditahan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SEORANG lelaki yang disyaki merogol warga Nigeria ditahan polis Sabtu lalu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya turut memburu tiga lagi lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Tahanan berusia 44 tahun itu kini direman selama enam hari berakhir pada lusa dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

"Sebelum ini, polis menerima satu laporan daripada seorang wanita warga Nigeria berusia 30 tahun yang mendakwa dipukul beberapa lelaki pada 4 Jun lalu.

"Hasil siasatan mendapati pada tarikh sama jam 10 pagi, pengadu pergi ke rumah teman lelakinya di kawasan Cheras. Pengadu dipercayai dipukul dan dicederakan teman lelaki serta beberapa rakannya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Mazlan berkata, pihaknya menahan tiga lelaki termasuk suspek kes rogol itu dan seorang wanita warga Thailand berusia antara 28 hingga 44 tahun bagi membantu siasatan.

"Ia bermakna suspek kes rogol itu ditangkap semula pada Sabtu lalu. Ketiga-tiga suspek lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Mereka direman selama lima hari berakhir 9 Jun lalu. Ketiga-tiga suspek itu kemudian diberi jaminan polis pada 9 Jun selepas permohonan untuk menyambung reman ditolak.

"Wanita Thailand itu pula ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan dan direman selama 14 hari berakhir 18 Jun lalu," katanya.

Mengulas mengenai pengadu, Mazlan berkata, wanita terbabit ditempatkan di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari 4 hingga 6 Jun lalu, untuk rawatan susulan.

"Pada 9 Jun lalu jam 7.50 malam, selepas selesai memberi keterangan berkaitan kes pukul, pengadu membuat laporan mengenai dakwaan kejadian rogol yang berlaku pada hari sama dia dipukul.

"Pada awalnya, pengadu tidak mahu memanjangkan kes rogol dan enggan membuat pemeriksaan di hospital.

"Namun, pengadu membuat laporan kedua itu selepas ditahan di wad selama tiga hari dan dinasihatkan polis supaya membuat laporan berkaitan kejadian berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, Mazlan berkata, wanita itu kemudian ditahan kerana didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

"Pengadu itu direman selama 14 hari berakhir semalam mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dia kini ditempatkan di Penjara Kajang sehingga siasatan kes rogol selesai," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 7:35pm
d