mutakhir

267 PATI Indonesia dihantar pulang

Oleh Abdul Rahemang Taiming

MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) Sabah, menghantar pulang 267 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ke negara asal minggu ini.

Pengarahnya, Sharifah Sitti Saleha Habib Yusof berkata, daripada jumlah itu seramai 134 sudah diusir hari ini manakala selebihnya akan dihantar pulang Jumaat ini.

Menurutnya, semua mereka diusir melalui jalan laut menggunakan perkhidmatan feri dari Terminal Feri Penumpang (TFP) Tawau ke Pelabuhan Tunon Taka, Nunukan, Kalimantan Utara (Kaltara), Indonesia, kira-kira 2 petang tadi.

"Penghantaran pulang ini adalah program khas yang dilaksanakan MKN Sabah dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dan agensi kerajaan yang lain.

"Kesemua PATI terbabit, sudah menjalani ujian saringan Covid-19 dan didapati negatif sebelum mendapat kelulusan untuk dihantar pulang" katanya dalam kenyataan media, di Tawau hari ini.

Menurutnya, penghantaran pulang itu adalah siri ke-17 dan ke-18 melalui jalan laut untuk tahun ini membabitkan PATI warga Indonesia dan Filipina.

"Sepanjang tahun ini seramai 3,936 orang termasuk warganegara India, China, Pakistan dan Vietnam dihantar melalui udara yang dilakukan oleh JIM Sabah menjadikan jumlah keseluruhan penghantaran pulang sejak tahun 1990 seramai 595,193," katanya.

Beliau berkata, MKN Sabah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam memastikan kelancaran operasi penghantaran pulang PATI kali ini.

"Begitu juga, penghargaan kepada pihak Konsulat Republik Indonesia yang memberikan kerjasama dalam memastikan rakyat mereka dapat kembali ke negara asal.

"Tindakan mereka mencerminkan kebertanggungjawaban dan keprihatinan yang tinggi terhadap kebajikan warganegara mereka walaupun berstatus PATI," ujarnya.

Dalam pada itu, Sitti Saleha turut menjelaskan kerajaan Filipina melalui kedutaannya di Kuala Lumpur juga sudah memberikan maklum balas yang positif berkenaan pengusiran tahanan PATI Filipina dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) di seluruh negeri Sabah.

"Hasil kerjasama baik yang diberikan oleh pihak kerajaan Filipina, penghantaran tahanan membabitkan warganya juga akan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya.

Sitti Saleha menjelaskan kerajaan Malaysia komited dalam memastikan semua tahanan dapat kembali ke negara asal untuk menikmati hak mereka menjalani kehidupan biasa di negara sendiri.

"Pihak MKN akan meneruskan tindakan penguatkuasaan selari dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan keberadaan PATI di negeri Sabah," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 8:38pm
d