mutakhir

Banjir makin surut, enam PPS ditutup [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

MANGSA banjir di Johor menurun kepada 575 orang susulan penutupan enam pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah, sehingga 8 malam, hari ini.

Ia berbanding jumlah mangsa banjir seramai 640 orang daripada 161 keluarga seperti dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dikeluarkan pada 4 petang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, enam PPS yang ditutup masing-masing satu di Muar dan Kulai, selain empat di Pontian berikutan air banjir yang surut.

Katanya, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Nawi, Muar; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Batu, Kulai, selain SK Seri Bukit Panjang, SK Seri Bunian, SK Agama Kayu Ara Pasong dan SK Belokok yang ditutup antara 2.30 hingga 5 petang.

"Sehingga 8 malam ini, hanya daerah Muar, Batu Pahat dan Pontian yang masih terjejas.

"Mangsa banjir di daerah Muar adalah tertinggi iaitu seramai 216 daripada 59 keluarga, diikuti Batu Pahat, 173 orang daripada 17 keluarga dan Pontian merekodkan 186 mangsa daripada 47 keluarga," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Vidyananthan berkata, sehingga ini, sebanyak 11 PPS masih dibuka di tiga daerah berkenaan.

"Pemantauan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mendapati keadaan banjir di kebanyakan rumah hampir pulih.

"Namun, keadaan hujan lebat dijangka beralih ke daerah Mersing, Kota Tinggi dan Segamat, sekali gus penduduk di daerah berkenaan diminta sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga.

"Jumlah hujan yang melebihi 50 milimeter (mm) hari ini terutama di barat dan selatan Johor menyebabkan berlaku limpahan air di kawasan rendah.

"Tetapi, pada hari-hari berikutnya, dijangka jumlah hujan kurang daripada 20 mm di kebanyakan kawasan," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 8:50pm
d