mutakhir

ADUN Kuamut diminta tampil buat laporan

Oleh Juwan Riduan

INDIVIDU yang didakwa berlegar di kawasan kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, pada 22 Jun lalu, masih belum dikenal pasti.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, pasukan polis tiba di lokasi selepas menerima aduan daripada Masiung.

Katanya, polis sebelum itu menerima laporan bahawa terdapat beberapa kenderaan mencurigakan berada di luar rumah ADUN berkenaan.

"Berikutan panggilan itu, pasukan polis bergegas ke lokasi berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan di kawasan sekitar rumah.

"Namun pihak polis kemudiannya meninggalkan kawasan berkenaan selepas siasatan mendapati tiada kenderaan seperti didakwa di kawasan itu," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Zaini berkata, pihaknya sudah menghubungi Masiung untuk mendapatkan maklumat berhubung kejadian itu.

Katanya, polis turut menasihati ADUN Kuamut itu supaya membuat laporan rasmi mengenai dakwaan beberapa kenderaan mencurigakan berada di kawasan rumahnya.

"Bagaimanapun, sehingga hari ini, Masiung masih belum membuat sebarang laporan polis berhubung kejadian berkenaan," katanya.

Sebelum ini tular di laman sosial Facebook, seorang individu mendakwa ada melihat beberapa kenderaan polis di perkarangan rumah Masiung.

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 9:22pm
d