mutakhir

Akibat pandu melulu, dipenjara 6 bulan dan denda

Oleh Abdul Rahemang Taiming

LELAKI yang sengaja menunggang motosikal dengan menyelit di celah konvoi tiga kenderaan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) minggu lalu, dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Tawau hari ini.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Tamring Ismail, 43, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Tertuduh didakwa didakwa menunggang secara melulu dan merbahaya ketika memotong konvoi tiga buah kenderaan PGA di Jalan Merotai-Bombalai, jam 7.50 malam 18 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum empat bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Sementara itu di mahkamah yang sama, seorang pengurus ladang dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM2,000 selepas mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk 1 Mac lalu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh, Nelson Rostam, 27, didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol dan ditahan ketika Ops Mabuk yang dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Jalan Kuhara, pada 12.20 tengah malam, 1 Mac lalu.

Hasil ujian mendapati kandungan alkohol dalam badan tertuduh sebanyak 191 miligram etil Alkohol dalam 100 mililiter darah melebihi sebanyak 111 miligram daripada had dibenarkan.

Bagi perbuatan itu, Nelson didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, yang memperuntukkan denda tidak kurang RM1,000 tidak melebihi RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 9:56pm
d