mutakhir

Pendengaran permohonan Zarina Anjoulie 10 Julai [METROTV]

Oleh BERNAMA

PERMOHONAN pelakon dan model, Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul supaya Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memasukkan penghakiman terhadap rakan seperjuangannya, Amyza Aznan, yang sehingga kini gagal menjawab saman fitnah bagi menuntut ganti rugi RM3 juta, akan didengar pada 10 Julai depan.

Saman itu adalah berhubung kenyataan Amyza atau nama sebenarnya Azizah @ Amyza Aznan, 46, yang didakwa menggunakan kata-kata kesat, memfitnah, dan memalukan Zarina Anjoulie, apabila beliau (Zarina Anjoulie) menyelar perbuatan artis tempatan memohon Bantuan Prihatin Nasional (BPN) oleh kerajaan berikutan wabak Covid-19.

Hakim Datuk Azimah Omar menetapkan tarikh itu, hari ini ketika prosiding kes saman berkenaan yang turut dihadiri peguam Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili Zarina Anjoulie.

Hakim itu turut mengarahkan supaya surat pemberitahuan dihantar kepada defendan iaitu Amyza bagi memaklumkan tarikh baharu pendengaran permohonan berkenaan. Sepatutnya hari ini ditetapkan untuk mendengar permohonan tersebut.

Terdahulu, Nurul Hafidzah memberitahu mahkamah bahawa kes itu telah tersebar di media massa dan defendan sepatutnya mengambil maklum berhubung prosiding hari ini.

Peguam itu berkata, Amyza juga masih belum memasukkan kehadiran untuk menjawab saman itu sejak ia difailkan pada 23 April lalu dan saman itu diberi kepada defendan melalui serahan tangan serta pos berdaftar pada 24 dan 28 April lalu.

Dalam saman itu, Zarina Anjoulie, 34, selaku plaintif, mendakwa selepas pengumuman kerajaan berhubung BPN kepada golongan B40 dan M40 yang berpendapatan sebulan RM8,000 ke bawah, sebahagian daripada golongan artis tempatan turut menyuarakan pendapat mereka, dan menyatakan bahawa pihak kerajaan perlu memberikan satu 'bantuan khusus' bagi mereka atau penggiat seni negara.

Mengikut penyataan tuntutan itu, Zarina Anjoulie yang juga seorang usahawan mendakwa, beliau memuat naik video di laman sosial Instagramnya pada 28 Mac lalu, yang secara umum menyatakan bahawa 'bantuan khusus' tersebut adalah tidak perlu dan hanya golongan artis yang layak, boleh memohon BPN seperti rakyat lain.

Dakwanya, pada 29 Mac lalu satu kumpulan dikenali sebagai 'Bantuan Covid-Seni 2020' ditubuhkan menggunakan aplikasi pesanan ringkas Telegram, bagi membincangkan mengenai bantuan Covid-19 kepada artis tempatan, dan kumpulan itu mempunyai sekurang-kurangnya 819 ahli terdiri daripada penggiat seni termasuk Amyza.

Plaintif mendakwa melalui kumpulan itu, Amyza mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya, menyebabkan ramai ahli kumpulan berkenaan turut dipengaruhi oleh fitnah itu, selain mendakwa defendan juga mengeluarkan kenyataan memfitnah di Instagram miliknya untuk paparan umum, yang dimuat naik April lalu.

Dakwanya, kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa, plaintif seorang yang berperangai buruk, tidak bertanggungjawab, dan sering menabur fitnah terhadap artis-artis lain, dan akibat kenyataan itu, beliau mengalami kemurungan kerana dimalukan dan reputasinya turut tercalar.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am atas kehilangan reputasi berjumlah RM3 juta, ganti rugi teladan, faedah, permohonan maaf daripada defendan.

Selain itu, defendan juga dihalang daripada mengeluarkan sebarang bentuk kenyataan memfitnah, memalukan, atau menjatuhkan reputasi plaintif, pada masa akan datang, kos serta relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Disiarkan pada: June 25, 2020 @ 11:52am
d