mutakhir

Kejutan hiba sang suami

Oleh Siti Rohana Idris

SEORANG isteri terkejut bukan kepalang apabila menemui suaminya meninggal dunia di sebuah rumah kosong di Kampung Pasir Pekan, Tumpat, hari ini.

Mayat buruh berusia 40 tahun itu ditemui dengan tali menjerut leher dalam rumah yang terletak di belakang kediamannya, kira-kira 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, sebelum kejadian mangsa ada memberitahu isterinya yang berusia 37 tahun untuk keluar merokok selepas bangun tidur.

"Bagaimanapun selepas isteri mangsa selesai mandi dan solat Subuh, dia mencari mangsa selepas panggilan tidak bersahut.

"Isteri mangsa kemudian ke rumah kosong di belakang rumah dan menemui suaminya sudah tidak bernyawa. Dia mengambil pisau dan memotong tali yang menjerut leher mangsa sebelum memaklumkannya kepada jiran," katanya dihubungi, hari ini.

Ab Rashid berkata, sepasukan polis ke tempat kejadian dan mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Dalam pada itu, isteri mangsa yang tidak mahu dikenali berkata, mereka bangun tidur kira-kira 5 pagi seperti rutin kebiasaan dan tidak mengesan perubahan pelik suaminya.

"Cuma malam tadi sahaja dia pesan jaga semua anak dengan baik jika berlaku sesuatu ke atasnya tapi saya tidak mengesyaki apa-apa.

"Saya terkejut apabila mencarinya dan menemui dia dalam keadaan begitu," katanya.

Disiarkan pada: June 25, 2020 @ 12:54pm
d