mutakhir

Tujuh pengedar air ketum ditahan [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

POLIS melumpuhkan rangkaian pengedaran air ketum didalangi warga tempatan susulan penahanan tujuh lelaki dalam lima serbuan sekitar Seberang Perai Utara, Kepala Batas, kelmarin hingga semalam.

Serbuan dilakukan selepas rungutan daripada penduduk kampung tidak tahan dengan aktiviti pengedaran air ketum walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, bertindak atas aduan, polis melakukan risikan dan serbuan sehingga tertangkapnya tujuh lelaki berusia antara 22 hingga 48 tahun.

"Dalam serbuan pertama, polis menahan seorang nelayan pada 7.30 malam di sebuah pondok di Kuala Muda, Penaga.

"Pada 12 tengah hari keesokannya, polis melakukan satu lagi serbuan dan menahan tiga lelaki berusia 22, 23 dan 43 tahun di sebuah rumah dekat Jalan Padang Serai, Kampung Besar, Tasek Gelugor," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, hari ini.

Noorzainy berkata, semalam satu lagi serbuan dilakukan dan lelaki berusia 38 tahun ditahan di Kampung Jarak Atas pada 1 tengah hari.

"Dalam serbuan keempat seorang lelaki berusia 48 tahun ditahan di Pokok Tampang tidak jauh dari lokasi serbuan ketiga pada 2 petang.

"Sementara, dalam serbuan terakhir pada 3 petang hari sama polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun di Lahar Tambun," katanya.

Beliau berkata, polis merampas 86 kilogram (kg) daun ketum, 920 bungkus atau 230,000 milimeter (ml) air ketum, 1,080 ml ubat batuk, 0.5 gram ganja serta pelbagai peralatan memasak ketum termasuk periuk dan tong gas dalam lima serbuan itu.

Menurutnya, kesemua rampasan bernilai RM7,000 dan air ketum yang dijual RM5 sebungkus dengan sasaran pelanggan tempatan.

"Empat daripada tujuh suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah ditahan atas kesalahan sama tetapi mengulangi perbuatan lama.

"Mereka dikesan bergiat aktif dalam aktiviti itu sejak enam bulan lalu hingga menggusarkan penduduk kampung," katanya.

Noorzainy berkata, ketujuh-tujuh suspek direman selama empat hari sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Disiarkan pada: June 25, 2020 @ 2:55pm
d