mutakhir

JKNT tubuh pasukan khas pantau sekolah

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

JABATAN Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menubuhkan Jawatankuasa Pemantau Khas bagi memantau pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di semua sekolah di negeri itu.

Pengarah JKNT, Dr Nor Azimi Yunus berkata, seramai 161 penguat kuasa JKNT akan menjalankan pemantauan di semua sekolah terbabit.

"Pemantauan dan penguatkuasaan itu akan dilakukan secara berterusan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa.

"Penguatkuasaan dijalankan sahaja membabitkan 151 sekolah di negeri ini, tetapi semua premis yang dibenarkan beroperasi sekarang," katanya ketika ditemui selepas Program Pemantauan SOP di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Terengganu, Salim Ab Ghani dan Pengetua SMKPM, Abu Hasmadi A Bakar.

Nor Azimi berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan pematuhan SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di semua sekolah.

"Sepanjang pemantauan dijalankan nanti, pasti ada sekolah mungkin tidak mematuhi SOP ditetapkan secara sempurna.

"Bagaimanapun kami yakin, bukan pihak sekolah tidak ingin patuh, cuma cara pelaksanaan tidak sempurna dan kami akan cuba menasihati sekolah berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: June 25, 2020 @ 3:22pm
d