mutakhir

Sokongan Tun M kepada calon Bebas tidak ganggu undi BN [METROTV]

Oleh Shahrinnahar Latib

BARISAN Nasional (BN) yakin sokongan secara terbuka bekas Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad kepada calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, tidak akan mengganggu jumlah undi kepada parti itu.

Ketua Umno Bahagian Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sokongan dibuat melalui video khas di Facebook Dr Mahathir kepada calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin itu langsung tidak memberi keyakinan kepada pengundi di Chini.

"Saya percaya sokongan dibuat beliau itu tidak akan memberi keyakinan kepada pengundi di Chini sebab kawasan ini mereka begitu sebati dengan BN.

"Masa kempen di PRK Cameron Highlands pun beliau (Tun Mahathir) ada turun. Namun majoriti kepada BN tetap meningkat...Tetapi kali ini dia tidak turun dan cuma memuatkan video sahaja untuk sokong calon Bebas," katanya.

Beliau ditemui media selepas Program Ramah Mesra dan Ziarah Kasih Orang Asli di Kampung Orang Asli Tasik Mentiga, Pekan, hari ini.

Hadir sama, calon BN, Mohd Sharim Md Zain; Naib Ketua Umno Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly dan Ketua Penerangan Umno Bahagian Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, terdapat dua faktor penting boleh memberi kemenangan dalam pilihan raya iaitu calon dan parti.

"Jika calon itu orang baik dan sesuai serta ada parti di dalamnya, maka calon BN adalah pilihan tepat kepada pengundi.

"Sebab pada akhirnya kita patut tanya pada diri, adakah calon yang boleh membela masa depan dan membantu rakyat," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kemenangan BN pada PRK nanti akan menjadi momentum kebangkitan parti itu untuk menewaskan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Disiarkan pada: June 25, 2020 @ 3:47pm
d