mutakhir

53 keluarga Orang Asli dapat bekalan elektrik

Oleh BERNAMA

SERAMAI 215 penduduk membabitkan 53 keluarga Orang Asli suku kaum Jakun di Kampung Bendaling, Pekan, boleh menarik nafas lega apabila hasrat mereka untuk menikmati kemudahan bekalan elektrik akan terlaksana tidak lama lagi.

Tok Batin kampung itu, Manda Mat, 62, berkata penduduk kampung gembira kerana setelah menunggu sekian lama, akhirnya mereka akan dapat nikmati kemudahan itu.

Katanya, tiang elektrik sudah dipasang Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum ini, namun kerja dihentikan seketika berikutan pandemik Covid-19 dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

"Ini adalah tanah adat kami dan sudah beberapa generasi tinggal di sini tanpa bekalan elektrik," katanya selepas program penduduk Orang Asli bersama calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain di kampung itu, hari ini.

Manda berkata, bekalan elektrik itu dilihat akan memberikan banyak kemudahan kepada masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan yang selama ini menggunakan pelita diisi dengan minyak sawit relai, yang dikutip di ladang di kawasan itu.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada program itu berkata, beliau menghubungi Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah untuk memastikan TNB menyambung elektrik terus ke setiap kediaman komuniti itu menerusi projek pemasangan tiang TNB dilaksanakan sebelum ini.

Beliau berkata, Shamsul Anuar mengarahkan TNB menyambung semula kerja itu serta-merta.

PRK DUN Chini, dengan pengundian pada 4 Julai nanti, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, 41, dengan dua lagi calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Terdapat 20,990 pengundi berdaftar termasuk 18 pemilih awal, dalam DUN Chini iaitu satu daripada empat DUN dalam Parlimen Pekan.

Disiarkan pada: June 25, 2020 @ 5:01pm
d