mutakhir

Warga emas buntu cari dana rawatan kanser

Oleh Yusmizal Dolah Aling

SEORANG warga emas yang kini terlantar akibat kanser rahim tahap empat merayu sumbangan orang ramai untuk membiayai kos perubatannya kerana tiada sumber pendapatan.

Salmah Mat, 61, kini hanya mampu terbaring kerana keadaan kesihatannya semakin merosot selepas disahkan menghidap penyakit itu sejak setahun lalu.

Anak saudaranya, Mimi Suhaila Abd Rahman, 31 berkata, ibu saudaranya dipanggil 'Mak' itu memerlukan sejumlah dana untuk kos rawatan sedangkan simpanan yang ada hanya cukup untuk tempoh sebulan saja lagi.

Katanya, Salmah sebelum ini dirujuk ke Hospital Selayang untuk rawatan dan keadaannya semakin merosot kebelakangan ini menyebabkan keluarga mengambil keputusan untuk membawanya pulang ke Taman Desa Alam Ria di Batang Kali.

"Mak tinggal bersama ahli keluarga yang lain dan belum berkahwin. Dia menjaga saya sejak kecil dan kini saya pula mengambil tanggungjawab untuk menjaganya.

''Selepas puas berikhtiar, saya terfikir untuk mencuba perubatan secara rawatan Islam dari Kelantan dengan kos yang dikenakan RM1,500.

"Jumlah itu memang tidak terlalu tinggi, tetapi kerana saya pula terpaksa berhenti kerja untuk menjaga Mak, selain disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), duit yang ada perlu digunakan untuk tujuan penting dahulu," katanya kepada Harian Metro.

Mimi Suhaila berkata, Salmah sepatutnya menjalani pembedahan Januari lalu, namun mengambil keputusan untuk membatalkannya ekoran kesihatannya yang terus merosot.

Menurutnya, ketika ini dia dan keluarganya membelanjakan kira-kira RM 800 sebulan untuk susu khas serta lampin pakai buang.

"Sebelum ini Mak langsung tidak dapat bercakap dan kebelakangan ini dia nampak begitu lemah.

"Sebagai anak saudara yang dijaga sejak kecil, saya kasihan melihat keadaannya dan sedang berusaha untuk mendapatkan wang bagi merawat penyakitnya," katanya.

Justeru beliau memohon orang ramai untuk menghulurkan sumbangan ke dalam akaun Maybank 162076002067 atas nama Salmah Mat.

Disiarkan pada: June 25, 2020 @ 6:37pm
d