mutakhir

Allahyarham Muhammad Arif bakal nikah Ogos ini

Oleh Amir Mamat

ALLAHYARHAM Laskar Kelas 1 TMK Muhammad Arif Idris mengimpikan untuk melangsungkan pertunangan serta pernikahan pada Ogos ini dan ia dipersetujui keluarga.

Bagaimanapun, Allah SWT lebih menyayanginya dan Muhammad Arif dijemput Ilahi selepas terbabit kemalangan di Jalan Ranau-Tamparuli, 12.50 tengah hari kelmarin.

Kemalangan berkenaan turut meragut nyawa Laskar Kanan Maslim Abdul Rahim dan Laskar Kelas I Mohamad Firdaus Mat Izan.

Ketiga-tiganya adalah anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) Sandakan, Sabah.

Perancangan Allahyarham dimaklumkan oleh abang sulungnya, Muhammad Akhbar, 30, yang ditemui selepas pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Klebang Besar, Melaka, hari ini.

"Mengikut perancangan, adik akan bertunang dan bernikah pada Ogos ini. Bagaimanapun, ini semua ketentuan Allah SWT. Kami sekeluarga reda," katanya.

Upacara pengebumian berkenaan dikendalikan sepenuhnya oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Turut berada di tanah perkuburan, kedua ibu bapa Allahyarham, Idris Yaakob dan Hanim Hasan selain teman wanitanya, Nurshila Natasha Rosli, 22.

Terdahulu, jenazah Muhammad Arif diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah jam 9.45 pagi tadi menggunakan pesawat C130H milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ketibaan jenazah di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) jam 2.10 petang disambut Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali serta beberapa pemimpin negeri.

Menurut Muhammad Akhbar, sehari sebelum kejadian, arwah ada menghubungi ibu mereka untuk bertanya khabar.

"Adik sering berhubung dengan ibu, tapi tiada pula menunjukkan apa-apa kelainan.

"Kejadian ini sesuatu yang di luar jangka. Perancangan Allah SWT mengatasi segala-galanya, kita terima dengan hati terbuka," katanya.

Muhammad Akhbar turut bangga apabila adiknya itu dijemput Ilahi ketika bertugas mencurah bakti kepada negara.

"Sebagai ahli keluarga, macam mana pun kita kena reda. Tanggungjawab dia sebagai seorang anggota tentera sudah dilunaskan dan kini dia sudah kembali kepada Allah SWT.

"Adik menjalankan tugas dengan baik. Malah semasa sebelum bertugas pun dia ada maklumkan impiannya kepada kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu, Juruiring Tentera Laut kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Laksamana Pertama Datuk Sharum Shaim yang turut hadir pada upacara itu menyampaikan sumbangan dan watikah takziah daripada Yang di-Pertuan Agong

kepada Idris dan Hanim.

Penyampaian itu turut disaksikan Asisten Ketua Staf Tadbir Markas Tentera Laut Laksamana Pertama Abd Halim Shaari.

Berita berkaitan:

  • 'Cuba kejut rakan tapi tak bangun'
  • Bau wangi seluruh rumah sebelum tahu suami meninggal dunia
  • Anggota TLDM rancang kahwin Disember ini
  • Satu kehilangan besar - Ismail Sabri
  • Siasat sama ada masalah kenderaan atau sebaliknya
  • Punca kemalangan masih disiasat
  • 3 anggota TLDM maut kemalangan
  • Disiarkan pada: June 25, 2020 @ 6:50pm
    d