mutakhir

Jumpa juga tokan dadah dalam almari [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LELAKI dipercayai tokan dadah sempat bersembunyi dalam almari baju ketika rumahnya diserbu sepasukan anggota polis dalam serbuan Op Sarang, di Langkawi, malam tadi.

Bagaimanapun tindakannya gagal apabila dia ditahan polis hasil serbuan, malam tadi.

Dalam serbuan 8 malam itu dilakukan sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan disertai anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi dan Polis Marin Langkawi.

Lelaki berusia 45 tahun itu pada mulanya tidak mengaku terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah namun hasil penemuan dadah dalam bilik di rumahnya membongkar kegiatannya.

Dalam serbuan berasingan, polis menahan tiga lelaki termasuk pengedar dadah berusia 40 tahun.

Mereka berada dalam bilik rumah itu dipercayai sedang membungkus dadah jenis heroin.

Dua lagi lelaki terbabit berusia 23 dan 31 tahun mengaku memperoleh bekalan daripada tokan di kawasan berhampiran.

Serbuan di satu lagi lokasi di pulau ini turut menahan empat lelaki berusia 20-an hingga 30-an dalam rumah berkenaan.

Hasil siasatan mendapati bilik dalam rumah itu dipercayai port untuk membungkus dan menagih dadah.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, hasil serbuan itu 52 orang ditahan dalam Op Sarang yang dilakukan sepanjang hari, semalam.

Beliau berkata, operasi dilakukan di Kuah, Teriang, Ayer Hangat, Bukit Malut dan Pulau Tuba.

"Daripada jumlah itu, 40 orang ditahan di kawasan pulau Langkawi manakala 12 orang lagi ditahan di kawasan Pulau Tuba.

"Satu kes membabitkan tiga tangkapan dilakukan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan empat kes membabitkan 10 tangkapan dilakukan mengikut Seksyen 39A (1) ADB 1952," katanya ketika ditemui di IPD Langkawi, malam tadi.

Helmi berkata, selain itu, 13 kes membabitkan 21 tangkapan disiasat mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan satu kes membabitkan dua tangkapan membabitkan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Beliau berkata, 16 kes lagi membabitkan 16 tangkapan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

"Keseluruhannya membabitkan 35 kes tangkapan sepanjang hari semalam.

"Selain itu kita turut merampas 33.97 gram heroin, 2.99 gram dadah jenis syabu, ganja 0.77 gram dan air ketum 1.5 liter hasil serbuan yang dilakukan itu," katanya.

Helmi berkata, operasi disertai 11 pegawai dan 63 anggota dalam operasi itu.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 12:26pm
d