mutakhir

Skim Persaraan Swasta perlu pembaharuan segera

Oleh Suraya Roslan

DUA keadaan yang mendesak Skim Persaraan Swasta memerlukan pembaharuan antaranya jangka hayat penduduk Malaysia meningkat dan skim persaraan sedia ada tidak bersifat bantuan jangka panjang.

Ahli Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, skim pencen sosial yang dicadangkan Bank Dunia sudah lama dibangkitkan dan dibincangkan tetapi perkembangan ke arah itu sangat perlahan.

"Bagaimanapun, hentaman ekonomi akibat Covid-19 membuka semula isu ini dan seterusnya memberi signal jelas kepada pembaharuan Skim Persaraan Swasta di Malaysia.

"Pertama, jangka hayat penduduk Malaysia meningkat dan umur persaraan sekarang perlu dilanjutkan, mungkin secara pilihan selepas umur 55 atau 60 tahun.

"Jika tidak individu dan kerajaan akan menanggung kos tinggi akibat masyarakat 'aging'," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, skim persaraan sedia ada di Malaysia tidak bersifat bantuan jangka panjang.

"Pengeluaran sekali gus selepas persaraan boleh menjadi risiko besar kepada individu.

"Sebaliknya, konsep pencen sosial swasta amat baik sekali jika mahu dipertimbangkan," katanya.

Katanya, bagaimanapun penting untuk diingatkan apa saja pelan persaraan pencen sosial ia adalah 'outcome' kepada struktur ekonomi itu sendiri.

"Tahap simpanan rendah adalah akibat daripada tingkat gaji yang rendah.

"Tingkat gaji yang rendah berlaku apabila sistem ekonomi yang tidak efisyen. Jadi, kelangsungan sistem persaraan pencen sosial juga bergantung kepada sistem ekonomi itu sendiri," katanya.

Sebelum ini Bank Dunia dalam laporan Pemantau Ekonomi Malaysia yang diterbitkan melaporkan pada usia 54 tahun ramai pekerja mempunyai baki simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah RM150,000 manakala hampir tiga perempat mempunyai baki di bawah RM250,000.

Jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung kehidupan selepas bersara sementara bantuan kerajaan yang ada seperti Bantuan Orang Tua (BOT) tidak mencukupi dan hanya membantu 26.4 peratus warga emas yang berada di bawah 20 peratus.

Berikutan itu, Bank Dunia mencadangkan pencen sosial sederhana dengan tahap faedah yang sama dengan bantuan tunai RM350 sebulan, tetapi diperluaskan kepada golongan B40 berusia 65 tahun ke atas menggunakan sistem Bantuan Sara Hidup (BSH) sedia ada.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 12:37pm
d