mutakhir

Masjid, surau di Negeri Sembilan boleh laksana solat jemaah

Oleh Mohd Amin Jalil

MULAI hari ini, semua masjid dan surau di Negeri Sembilan dibenarkan mengadakan solat berjemaah dan aktiviti pengajian ilmu seperti kuliah agama, tazkirah selain kelas takmir.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Mohd Zaidi Ramli berkata, bagaimanapun, kebenaran ini tertakluk kepada nasihat dan pertimbangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

Bagaimanapun, sekiranya masjid dan surau berkenaan terletak di dalam kawasan yang mempunyai kluster aktif Covid-19, maka ia tidak dibenarkan untuk melaksanakan aktiviti ibadat berkenaan.

"Sukacita dimaklumkan bahawa semua masjid dan surau di Negeri Sembilan dibenarkan memulakan aktiviti solat berjemaah, pengajian ilmu (kuliah, tazkirah dan kelas takmir) bermula pada waktu Maghrib, 26 Jun 2020.

"Jumlah jemaah adalah mengikut kapasiti ruang solat yang ditentukan oleh jawatankuasa kariah masjid dan surau. Jawatankuasa ini juga perlu mematuhi garis panduan disediakan JHEAINS yang dikeluarkan sebelum ini," katanya pada kenyataan hari ini.

Sebelum ini, hanya masjid dan surau terpilih di Negeri Sembilan yang diberikan kebenaran mengadakan solat lima waktu berjemaah namun tidak untuk aktiviti majlis ilmu dan kelas takmir.

Ahli jawatankuasa Surau Nurul Hidayah, Taman Anggerik, Senawang, Mohd Rosly Jamil, 59, bersyukur dengan kebenaran berkenaan.

"Alhamdulillah, kebenaran ini membolehkan solat berjemaah dijalankan seperti biasa.

"Terima kasih kepada pihak berkuasa agama negeri yang memberikan kebenaran ini," katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 1:34pm
d