mutakhir

Remaja maut rempuh pikap

Oleh Melvin Joni

SEORANG remaja lelaki maut akibat merempuh sebuah pacuan empat roda di Jalan Sarig di sini, pagi tadi.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 7 pagi, di mana mangsa berusia 18 tahun dari Kampung Sikog itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata kemalangan berlaku apabila pacuan empat roda terbabit masuk ke simpang sebelah kanan Lorong Pesa 5 lalu dirempuh oleh mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dari arah bertentangan.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik dari Hospital Serian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata, pemandu Toyota Hilux yang juga lelaki berusia 68 tahun dari Kampung Pesa, Padawan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 1:46pm
d