mutakhir

Sindiket edar arak tidak bercukai tumpas

Oleh Ruwaida Md Zain

SINDIKET pengedaran minuman keras tidak bercukai di sekitar Klang dan Kuala Lumpur tumpas susulan penahanan seorang lelaki berhampiran susur keluar Bukit Tinggi, di Kilometer 20.9 Lebuhraya Klang-Shah Alam (Kesas), Klang, Selasa lalu.

Lelaki warga tempatan berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan anggota Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Semenyih ketika Op Benteng Covid-19 pada 9.30 malam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Zulafendy Hassan berkata, suspek ditahan bersama sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan, pasukan rondaan menemui 540 kotak (12,960 tin) minuman keras pelbagai jenama dipercayai diseludup dianggarkan bernilai RM37,800.

"Selain minuman keras itu, polis turut merampas lori, sejumlah wang tunai RM1,980 serta beberapa telefon bimbit dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah kira-kira RM185,580," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulafendy berkata, ketika ditahan untuk pemeriksaan, lelaki terbabit mengaku pernah ditahan sebelum ini atas kesalahan sama.

"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Klang untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967.

"Polis menyeru kepada masyarakat supaya terus memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang," katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 1:59pm
d