mutakhir

Polis akan panggil ibu bapa jamin anak di balai

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

IBU bapa remaja bawah umur yang ditahan kerana terbabit dalam kegiatan 'merempit' akan dipanggil ke balai polis bagi menjamin anak mereka dan diambil tindakan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, tindakan itu diambil kerana kebanyakan mereka yang ditahan terbabit dengan aktiviti samseng jalanan itu terdiri daripada golongan bawah umur.

Katanya, secara keseluruhannya, individu yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan berusia belasan tahun hingga 40 tahun. "Justeru, kami mengambil pendekatan seperti kesalahan basikal lajak iaitu memanggil ibu bapa remaja bawah umur bagi menjamin mereka.

"Ini kerana ada di antara remaja itu menunggang motosikal milik ahli keluarga untuk melakukan aktiviti tidak sihat itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Azisman berkata, pihaknya menjalankan sebanyak 324 operasi berkenaan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga 15 Jun lalu.

"Bukan sahaja kenderaan penunggang yang beraksi diperiksa, malah kami turut memeriksa motosikal penonton yang berada di lokasi.

"Setakat ini 7,116 motosikal diperiksa dalam operasi berkenaan dan seramai 1,121 individu ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Selain itu, kami juga menyita sebanyak 920 motosikal atas pelbagai kesalahan termasuk ubah suai dalam operasi berkenaan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai digalakkan untuk memberikan maklumat mengenai kegiatan samseng jalanan di lokasi kejiranan mereka kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Saya amat mengharapkan kesedaran orang ramai untuk membantu kami membanteras kegiatan ini dengan menyalurkan maklumat termasuk di media sosial.

"Ini kerana ada banyak kes yang berlaku berjaya diselesaikan menerusi rakaman video kejadian tular di media sosial meskipun ia tidak dilaporkan kepada pihak polis," katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 2:17pm
d