mutakhir

'Bubar Parlimen hanya pandangan peribadi Tok Mat, bukan parti' [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

KENYATAAN Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya Parlimen dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan hanya bersifat pandangan peribadi.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa menegaskan parti tidak membuat sebarang keputusan soal pembubaran Parlimen.

Malah katanya, apa yang parti buat dari segi Umno dan BN adalah mengulangi sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN)

"Kita mengulangi kita adalah sebahagian daripada gabungan dalam PN.

"Pendirian kita, kerajaan harus memberi tumpuan kepada masalah rakyat.

"Itu pendirian rasmi yang boleh saya sebutkan sebagai Setiausaha Agung BN dan MN. Umno tidak buat apa-apa perbincangan mengenai perkara pembubaran (Parlimen), itu kenyataan peribadi Tok Mat (Mohamad)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pameran kartun: Kartunis vs Covid-19 di Rumah Kartun dan Komik Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Annuar memberikan reaksi berkenaan kenyataan Mohamad semalam yang dipetik berkata, pembubaran parlimen perlu dilakukan segera bagi memastikan kerajaan yang memerintah mempunyai mandat yang baik dan diyakini.

Mohamad dalam kenyataannya semalam berkata, Muhyiddin wajar mengikut jejak Singapura membubarkan parlimen bagi membolehkan PRU-15 diadakan seterusnya menstabilkan keadaan politik.

Mengulas lanjut, kata Annuar, sebarang perkara yang bersifat 'over politicking' hendaklah dikurangkan terutama sekali daripada blok kerajaan.

"Ini supaya kerajaan dapat menumpukan perhatian menyelesaikan masalah rakyat.

"Saya rasa rakyat mungkin keletihan kalau dia dengar orang politik asyik bercakap politik tetapi masalah mereka begitu banyak yang tidak selesai daripada sekecil isu gelandangan seterusnya perumahan, ramai yang hilang pekerjaan, ramai hilang perniagaan dan sebagainya.

"Jadi saya fikir elok kita tumpukan kerja kita sebagai sebuah kerajaan," katanya.

Beliau berkata, tidak timbul juga soal ketidakstabilan.

"Saya tengok kerajaan ini adalah mantap, jumlah sokongan semakin bertambah, jumlah kerusi pun makin bertambah sebab ada yang 'menyeberang' dan memberi sokongan kepada PN," katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 2:31pm
d