mutakhir

Ibu, anak perempuan kantoi hisap dadah

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SEORANG wanita bersama anak perempuannya berusia 13 tahun ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perlis dalam operasi khas di rumah mereka di Santan di Kangar semalam selepas terbabit dengan aktiviti penagihan syabu.

Pengarah AADK Perlis, Khairul Anwar Ahmad berkata, dua beranak itu antara 41 penagih dadah berusia 13 hingga 61 tahun yang ditahan dalam operasi khas sekitar Kuala Perlis, Santan, Utan Aji, Kuala Sanglang, Kangar, Kaki Bukit, Mata Ayer dan Chuping.

Menurutnya, penahanan wanita berusia lingkungan 40-an bersama anaknya itu dilakukan jam 3 petang selepas menerima risikan mengenai perlakuan aktiviti tidak sihat di rumah mereka.

"Ketika ditahan, dua beranak terbabit sedang berbual bersama dua lagi remaja perempuan berusia belasan tahun di dalam rumahnya manakala suami wanita itu tiada di rumah.

"Hasil ujian air kencing mendapati dua beranak bersama remaja terbabit positif dadah jenis syabu dan mereka ditahan untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khairul Anwar berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada wanita terbabit yang menyebabkan semua remaja berkenaan terbabit dalam aktiviti penagihan.

Dalam perkembangan sama, katanya, pihaknya turut menahan 37 lagi lelaki berusia antara 19 hingga 51 tahun yang sedang leka menghisap dadah.

"Semua mereka dibawa ke pejabat AADK sejurus penahanan dan diambil tindakan mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983 pindaan 1998," katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 2:51pm
d