mutakhir

Perlu perancangan bersepadu benarkan perjalanan antara negara zon 'hijau'

Oleh BERNAMA

KERAJAAN negara anggota ASEAN perlu mewujudkan rancangan yang bersepadu untuk segera melaksanakan langkah-langkah bagi "travel bubbles" antara negara anggota yang dikategori 'hijau', kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata, rancangan itu penting bagi meningkatkan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat di rantau ini.

"Konsep "Green bubble" atau "laluan hijau" membabitkan pelonggaran sekatan perjalanan antara dua atau lebih negara yang mana jangkitan dan kes tempatan Covid-19 adalah rendah.

"Kemungkinan pada masa terdekat ini, kita juga boleh membuka sempadan bagi pelancongan antara ASEAN agar diperluaskan dan meningkatkan kewangan yang amat diperlukan dalam ekonomi kebangsaan kita," kata Muhyiddin pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-36, yang diadakan secara maya dan dihoskan oleh Vietnam. Muhyiddin menyertai sidang maya itu dari Putrajaya.

Muhyiddin berkata, Malaysia juga menyokong dan berkongsi pandangan yang sama dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Presiden Indonesia, Joko Widodo bahawa pegawai rasmi ASEAN perlu mula usaha untuk mewujudkan satu "travel bubbles" ASEAN.

"Sebagai langkah pertama, kita boleh menerokai kemungkinan pengecualian sektor bagi sekatan perjalanan seperti pelancongan perubatan atau lawatan ekonomi bernilai tinggi," katanya.

Muhyiddin menjelaskan bahawa krisis kesihatan awam memberi kesan yang besar terhadap ekonomi dan menghidupkan semula ekonomi serantau perlu menjadi keutamaan ASEAN untuk mengurangkan gangguan perdagangan dan memperkuat daya tahan rantaian bekalan serantau ini.

Perdana Menteri berkata, seperti yang dicadangkan oleh Malaysia pada April, ASEAN perlu merumuskan satu Pelan Pemulihan Ekonomi Serantau memandangkan negara di rantau ini sedang bergelut untuk kelangsungan ekonomi.

Beliau berkata, jika ASEAN tidak melindungi ekonomi rantaunya, jurang pertumbuhan yang lebih meluas di antara negara anggota ASEAN boleh merosakkan objektif pengelompokan serantau ini bagi integrasi ekonomi yang lebih besar.

"Kita perlu bertindak dengan pantas dan tegas dalam menyelaraskan tindak balas peringkat serantau dalam menghidupkan semula ekonomi kita. Tindak balas yang diselaraskan dengan baik akan memastikan kita dapat keluar dari krisis ini bersama-sama dengan lebih kuat, sebagaimana kita menghadapi krisis sebelum ini," katanya.

Muhyiddin berkata, bersama-sama dengan rakan anggota ASEAN yang lain, Malaysia juga akan berusaha ke arah mencapai kesimpulan dan menandatangani Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) tahun ini.

Beliau menambah bahawa Malaysia bersedia untuk terbabit dengan India dalam penyertaan terus dalam RCEP, yang mana Malaysia percaya ia akan menyumbang kepada kemakmuran serantau.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 3:47pm
d