mutakhir

Rampas beras, minyak masak RM35,139

Oleh Syaherah Mustafa

BATALION 7, Pasukan Gerakan Am (PGA7) menemui beras dan minyak masak bernilai RM35,139 hasil penahanan sebuah kenderaan di hadapan Tanah Perkuburan Islam Panglima Bayu, Tanah Merah, hari ini.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam operasi 1 tengah hari itu, anggota menahan Mitsubishi Pajero terbabit selepas didapati dalam keadaan mencurigakan dari arah Rantau Panjang.

Beliau berkata, rampasan itu 2,657 kilogram (kg) beras, 200kg beras pulut dan 255kg minyak masak yang turut ditemui di dua lagi lokasi berbeza hasil siasatan ke atas pemandu kenderaan terbabit.

Menurutnya, anggotanya mengekori kenderaan terbabit dan menahan dua lelaki sebelum menemui 974 (kg) beras dan 100kg beras pulut di dalam Mitsubishi Pajero itu.

"Selepas menyoal siasat suspek, kami melakukan dua serbuan di Kampung Batang Merbau dan Kampung Batu Gajah.

"Hasil serbuan terbabit, anggota menemui beras serta 255kg minyak masak yang disimpan di dalam kenderaan dipercayai dijadikan sebagai tempat transit sebelum diseludup ke Thailand.

"Kedua-dua suspek diserahkan kepada pihak polis dan kes diserahkan bagi siasatan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk disiasat mengikut Seksyen 35(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Beliau berkata, selain itu, siasatan dilakukan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Tanah Merah mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam perkembangan lain, Azhari berkata, pihaknya turut merampas 1,683 paket minyak masak dan dua kenderaan bernilai RM14, 205.50 dalam serbuan di sebuah rumah berdekatan Masjid Bendang Pak Yong, Tumpat.

"Dua suspek melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota dan semua barang rampasan dibawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

"Hasil siasatan awal mendapati, semua barangan bersubsidi ini dipercayai untuk diseludup masuk ke negara jiran.

"Pihak kami sentiasa membuat pemerhatian dan risikan maklumat jika terdapat sebarang aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan sepanjang sempadan negara Malaysia- Thailand," katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 4:12pm
d