mutakhir

Masjid di Pulau Pinang disyor guna sistem kupon

Oleh Nur Izzati Mohamad

POLIS Pulau Pinang mengesyorkan pengurusan di 212 masjid di negeri itu menggunakan sistem pemberian kupon atau teknologi yang boleh melancarkan kemasukan jemaah menunaikan solat Jumaat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Saranan itu diajukan pihak berkuasa selepas Pulau Pinang membenarkan pertambahan jemaah solat Jumaat mengikut keluasan masjid.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, sistem pemberian kupon atau apa sahaja teknologi bersesuaian boleh diadaptasi pengurusan masjid dan ia diyakini boleh membantu mengawal kemasukan jemaah dengan baik khususnya ketika solat Jumaat.

"Sistem ini perlu memandangkan sekarang lebih ramai jemaah akan pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

"Penggunaan kupon atau apa sahaja sistem yang difikirkan pengurusan masjid dapat membantu tugas polis dari dalam aspek pemantauan SOP," katanya selepas mengadakan pemantauan pematuhan SOP dan menunaikan solat Jumaat di Masjid Abdullah Fahim, di Kepala Batas, hari ini.

Terdahulu, beliau memuji usaha pengurusan Masjid Abdullah Fahim yang menggunakan sistem kupon bagi mengelakkan kesesakan jemaah.

"Melalui laporan daripada anggota polis yang ditempatkan di semua masjid pada hari ini mendapati tiada rungutan oleh orang awam dan mereka yang tidak dibenarkan masuk ke masjid memahami situasi berlaku," katanya.

Sementara itu, Imam Utama masjid berkenaan, Zulkhairi Ramli berkata, pihaknya menggunakan sistem kupon untuk memudahkan pengurusan memantau pergerakan jemaah selain mengelak kemasukan melebihi kapasiti ditetapkan.

"Masjid ini mampu memuatkan lebih 5,000 jemaah tetapi untuk tempoh PKPP hanya 1,030 jemaah sahaja yang dibenarkan," katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 4:14pm
d