mutakhir

Rumah guru silat gayung hampir ranap ditimpa dahan pokok

Oleh Mohd Khidir Zakaria

RUMAH guru silat gayung, Othman Tahir, 55, di Kampung Arab, Port Dickson, hampir ranap ditimpa dahan pokok rambutan yang patah ketika hujan lebat, awal pagi tadi.

Othman berkata, kejadian berlaku jam 4 pagi ketika dia serta dua adiknya sedang tidur.

"Ketika ditimpa dahan pokok rambutan, rumah bergegar manakala dinding pula tumbang ke bahagian luar.

"Saya terus mengarahkan adik keluar daripada rumah kerana bimbang mereka ditimpa kayu serta atap rumah yang sudah reput," katanya ketika menerima lawatan Pegawai Daerah Port Dickson Khairy Maamor di kediamannya.

Menurut Othman, walaupun dahan itu hanya menimpa bilik namun hampir seluruh rumah rosak teruk kerana semua struktur kayu sudah reput.

"Jika hendak dibaiki, ia perlu dibuat keseluruhan kerana hampir semua bahagian rumah sudah reput dimakan anai-anai.

"Saya dan adik hanya melakukan kerja kampung dan berharap ada pihak sudi menghulurkan bantuan untuk membaiki rumah ini," katanya.

Othman turut berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Unit Tindakan Khas (UTK) Majlis Perbandaran Port Dickson.

Sementara itu, Khairy berkata, pihaknya akan meneliti bentuk bantuan yang boleh meringankan beban keluarga berkenaan.

"Untuk membaiki rumah ini, kami perlu memastikan penama rumah dan tanah terlebih dahulu.

"Buat sementara, mereka sekeluarga akan ditempatkan di balai raya. Hujan lebat ini turut menjejaskan banyak kawasan sekitar Port Dickson," katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 4:31pm
d