mutakhir

Peniaga pasar pagi, pasar malam digesa pakai pelitup muka

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PENIAGA pasar pagi dan pasar malam yang tidak memakai pelitup muka boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk lesen perniagaan ditarik balik.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peniaga disyaratkan memakai pelitup muka ketika berurus niaga bagi mengelak berlaku jangkitan Covid-19.

"Walaupun dari segi akta tidak mewajibkan memakai pelitup muka kecuali mereka yang bergejala, tapi saya harap peniaga memakainya.

"Jika Prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan PBT bahawa sebelum peniaga pasar malam dan pasar pagi dibenarkan berniaga perlu memakai pelitup muka, maka PBT boleh ambil tindakan.

"Ini kerana mereka tertakluk di bawah undang-undang kecil PBT kalau itu salah satu syarat (memakai pelitup muka) dikeluarkan oleh PBT," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan boleh diambil terhadap peniaga pasar malam dan pasar pagi yang dikesan tidak memakai pelitup muka ketika berniaga.

Menurutnya, PBT boleh mengambil tindakan menarik balik lesen perniagaan sekiranya peniaga gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

Beliau berharap peniaga terutamanya menjual makanan memakai pelitup muka demi keselamatan dan kesihatan mereka serta pelanggan.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 4:35pm
d