mutakhir

Lepas 8.5 juta benih ikan, udang galah

Oleh Mohd Rafi Mamat

JABATAN Perikanan Negeri Pahang melepaskan lebih 8.5 juta pelbagai spesies benih ikan air tawar dan udang galah ke perairan umum negeri ini dalam tempoh lima tahun sejak 2016.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, program pelepasan benih ikan dan udang galah mula dilakukan di Pahang sejak 2005 membabitkan lokasi seperti sungai utama, tasik dan empangan di semua daerah.

Menurutnya, dalam tempoh enam bulan tahun ini pihaknya melepaskan 188,300 benih pelbagai spesies ikan air tawar.

"Jabatan mensasarkan lebih satu juta benih pelbagai spesies ikan air tawar termasuk udang galah dilepaskan tahun ini, bagaimanpun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) banyak acara pelepasan terpaksa ditangguhkan.

"Kami akan tetap berusaha mencapai sasaran berkenaan, kerjasama dengan pusat pengeluaran benih ikan milik jabatan dan swasta diperlukan bagi menyediakan bekalan secara berterusan," katanya pada program pelepasan 2,000 benih ikan siakap di Sungai Kuantan, Kuantan, semalam.

Beliau berkata, aktiviti pelepasan benih ikan air tawar membabitkan 12 spesies antaranya seperti siakap, lampam sungai, patin, sebarau, baung, temoleh, kelah, tengalan dan kerai lampam.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 5:47pm
d