mutakhir

Wujud kebimbangan longgarkan semula sekatan pintu sempadan [METROTV]

Oleh Isma Ismail dan Amir Abd Hamid

BELUM ada tarikh dimuktamadkan dalam kalangan negara anggota ASEAN untuk melaksanakan perjalanan antara negara yang dikategorikan sebagai zon hijau Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perlu ada perbincangan lanjut antara negara sebelum rancangan berkenaan direalisasikan.

Menurutnya, memang ada kebimbangan membuka dan melonggarkan semula sekatan di pintu sempadan negara.

"Apa yang pasti satu daripada faktor kejayaan kita melandaikan lekuk dan menurunkan kes dalam menangani penularan wabak Covid-19 adalah mengukuhkan kawalan sempadan.

"Perbincangan sudah dilakukan tetapi belum dilaksanakan. Setiap negara ada syarat yang tersendiri dan kita perlu melihat kekurangan dan kelebihan.

"Kita sudah memulakan perbincangan tetapi belum ada pelan dan strategi yang konklusif dan setakat ini belum ada tarikh muktamad bila nak laksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham memberikan reaksi mengenai kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bahawa kerajaan anggota ASEAN perlu mewujudkan rancangan bersepadu untuk segera melaksanakan 'travel bubbles' antara negara anggota yang dikategori hijau.

Muhyiddin dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-36 yang diadakan secara maya dihoskan Vietnam dilaporkan berkata rancangan itu penting bagi meningkatkan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan rakyat rantau ini.

Konsep 'Green bubble' atau laluan hijau, kata Muhyiddin, adalah membabitkan pelonggaran sekatan perjalanan antara dua atau lebih negara yang mana jangkitan dan kes tempatan Covid-19 adalah rendah.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sekurang-kurangnya ketika ini perlu menyambung lagi perbincangan dan apa yang penting bagi negara ini adalah memantau situasi Covid-19 di negara yang berkenaan

"Kemudian bagaimana kita nak pastikan menyeimbangkan nyawa dan aktiviti untuk kehidupan yang merentasi sempadan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 6:49pm
    d