mutakhir

L'Oreal labur RM722 juta tangani masalah sosial, perubahan iklim

Oleh Mahaizura Abd Malik

L'OREAL memperuntukkan RM722 juta pelaburan bagi menangani masalah sosial dan cabaran perubahan iklim dunia.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif L'Oreal, Jean-Paul Agon berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM481.4 juta diperuntukkan untuk pelaburan impak bagi menghadapi cabaran utama alam sekitar.

"Sebanyak RM240.7 juta akan digunakan untuk membiayai projek pemulihan ekosistem laut dan hutan yang terjejas menerusi dana Tabung Pemulihan Alam Sekitar L'Oreal manakala RM240.7 juta lagi bagi projek berkaitan ekonomi pusingan.

"Selain itu, bagi menyokong badan amal tempatan memerangi kemiskinan dan membantu melindungi wanita, sebanyak RM240.7 juta lagi diperuntukkan dalam tabung amal.

"Dana ini turut memberikan bantuan kecemasan kepada pelarian wanita dan orang kurang upaya serta sokongan terhadap mangsa keganasan," katanya pada telesidang video sempena pelancaran program kelestarian 'L'Oreal untuk masa hadapan 2030, hari ini.

Beliau berkata, program itu adalah visi terbaru L'Oreal dalam mempercepatkan proses perubahan serta mengukuhkan komitmennya terhadap penyertaan dalam mengekalkan kelestarian alam sekitar.

"Menjelang 2025, semua kilang L'Oreal akan mencapai tahap karbon neutral dengan meningkatkan kecekapan tenaga dan menggunakan 100 peratus tenaga boleh diperbaharui.

"Menjelang 2030 pula, kami sasarkan penggunaan 100 peratus pembungkusan produk L'Oreal dari bahan kitar semula atau berasaskan sumber bio.

"Selain itu, kami akan mengurangkan 50 peratus daripada keseluruhan pelepasan gas rumah hijau bagi setiap produk akhir berbanding tahun 2016," katanya.

Katanya, dalam usaha memperkasakan pelanggan membuat pilihan lebih lestari, L'Oreal membangunkan produk mesra alam dalam mekanisme pelabelan impak sosial dari skala A hingga E.

"Ia diiktiraf dan disahkan pakar saintis dan juruaudit bebas yang penggunaannya akan dilakukan secara berperingkat untuk semua jenama dan kategori produk.

"Kita melihat pentingnya mempercepatkan usaha mengekalkan ruang operasi selamat.

"L'Oreal melakukannya dalam operasi perniagaan sendiri serta sebagai sumbangan kepada masyarakat," katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 6:54pm
d