mutakhir

'Tiada tolak ansur terhadap pengkhianat negara'

Oleh Mohamed Farid Noh

KETUA Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan tidak akan bertolak ansur lagi terhadap anggota penguat kuasa yang bersubahat membantu pendatang asing tanpa izin (Pati) dan bersekongkol dengan sindiket penyeludupan manusia.

Ayob Khan berkata, tindakan anggota penguat kuasa itu adalah pengkhianatan terbesar kepada negara dan tidak wajar dibiarkan berikutan ia sudah berlarutan terlalu lama.

"Saya tidak nafikan ada sesetengah pihak yang mendakwa tindakan tegas terhadap anggota penguat kuasa kononnya akan melunturkan semangat mereka berkerja namun saya cukup pantang dengan pernyataan sebegitu.

"Adakah kerana mereka pegawai dan anggota penguat kuasa, tiada tindakan perlu diambil. Sedangkan perkara ini sudah berlarutan terlalu lama tanpa ada tindakan.

"Jika tidak puas hati boleh lakukan aduan terhadap tindakan tegas yang diambil atau pun beri laluan kepada mereka yang betul-betul ingin bekerja dan memikul amanah yang diberikan, " katanya ketika ditemui NSTP, hari ini.

Rabu lalu, tiga pegawai Jabatan Imigresen dan seorang anggota Pasukan Polis Marin (PPM) ditahan susulan operasi berterusan polis Johor terhadap kegiatan sindiket penyeludupan PATI sejak Mac lalu.

Pegawai Jabatan Imigresen berusia antara 30 hingga 48 tahun itu bertugas di Terminal Feri Pasir Gudang, Johor, manakala anggota PPM berusia 41 tahun pula bertugas di Markas Operasi Pasukan Marin di Putrajaya.

Pada 18 Jun lalu pula, media melaporkan polis Johor menahan 18 anggota penguat kuasa termasuk seorang pegawai kanan PDRM selain anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terbabit dalam sindiket jenayah terancang penyeludupan Pati di negeri ini, sejak 2017.

Kesemua suspek membabitkan pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang bertugas di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini, seorang anggota pangkat rendah Polis Marin Wilayah Dua, Tampoi, dua anggota pangkat rendah bertugas di Bukit Aman dan sembilan anggota pangkat rendah bertugas di IPD Kota Tinggi selain dua pegawai ATM dan tiga anggota ATM lain-lain pangkat.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, ketegasan terhadap anggota penguat kuasa yang terbabit dalam jenayah termasuk penyeludupan migran juga bertolak daripada prinsip menegakkan undang-undang tanpa memilih bulu mahu pun mana-mana golongan di negara ini.

"Saya juga mendapat maklumat berserta video daripada orang awam ada anggota penguat kuasa yang menjadi pengiring kepada penyeludup termasuk rokok haram.

"Ini adalah tamparan kepada saya selaku Ketua Polis negeri, jika masyarakat pun mengambil peduli, tidak akan polis hendak biarkan sahaja.

"Oleh itu, tiada lagi tolak ansur kepada mana-mana pihak termasuk anggota penguat kuasa yang melanggar undang-undang dan bersubahat melakukan jenayah, " katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 7:31pm
d