mutakhir

Askar, polis bantuan ditahan curi lembu

Oleh Mohamed Farid Noh

ASKAR dan polis bantuan antara lapan yang ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kecurian 23 lembu di sebuah ladang kelapa sawit di Kulai yang dilaporkan pada 16 Mei dan semalam.

Kesemua mereka itu terdiri daripada seorang pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tiga anggota tentera lain-lain pangkat, dua polis bantuan, seorang pegawai sebuah universiti awam dan seorang awam berusia 37 hingga 48 tahun.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penahanan lapan suspek berkenaan dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai dalam serbuan di lapan lokasi berasingan di Kulai, Pontian, Skudai dan Johor Bahru antara 1 pagi hingga 7.30 pagi har ini.

"Suspek dipercayai terbabit mencuri 23 lembu yang dianggarkan bernilai lebih RM55,000.

"Polis turut merampas selaras senapang patah, 76 butir peluru, dua kelongsong peluru, sebuah kenderaan pacuan empat roda milik universiti awam, dua kapak, empat pisau kecil, empat mata pisau serta tiga parang.

"Turut dirampas ialah peti sejuk beku yang mengandungi 73 bungkusan plastik berisi daging, sebiji batu asah, tiga biji lampu limpah, lima gelung tali plastik, sebuah motosikal, lapan telefon bimbit, dua lampu suluh serta sebuah beg galas hitam," katanya dalam kenyataan di Johor Bahru hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, kesemua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

"Polis Johor tidak akan berkompromi melindungi mana-mana anggota agensi penguat kuasa atau penjawat awam yang melakukan kesalahan menyalahi undang-undang, " katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 8:38pm
d