mutakhir

PRK Chini kerjasama awal hadapi PRU15

Oleh BERNAMA

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini akan menjadi isyarat awal kerjasama antara pimpinan dalam Perikatan Nasional (PN), yang boleh diterjemahkan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, kerajaan PN yang ada jelas mengutamakan isu-isu yang penting seperti kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

"Kita nak pastikan trend sebelum pilihan raya itu kekal sehingga PRU-15 nanti. PRK DUN Chini ini boleh menjadi titik tolak kepada kebangkitan kerjasama dalam PN.

"Jika ada pihak lain yang membantu dan menyokong calon kita, kita terima dengan hati terbuka dan itu beri landasan yang baik dalam apa saja perancangan bagi PRU-15," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ceramah di Felda Chini 5, dekat Pekan, malam tadi.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata adalah tidak wajar sesetengah pihak memainkan isu bahawa calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain tidak dilahirkan di Pahang, sedangkan beliau ialah generasi kedua peneroka Felda Chini.

Beliau berkata, bagi mencari pemimpin adalah penting bagi memilih seseorang yang dekat dan memahami masyarakat setempat dengan Mohd Sharim memenuhi kriteria itu.

"Tak penting orang itu dari mana, yang penting orang itu bersedia membela masyarakat setempat. Saya percaya beliau tidak akan kecewakan kita jika kita tidak kecewakan beliau dengan memberikan kemenangan terhadap calon BN pada 4 Julai ini," katanya.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

  • Lagi berita berkaitan PRK DUN Chini
  • Disiarkan pada: June 27, 2020 @ 1:07pm
    d