mutakhir

Gabungan PN hadapi PRU15?

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

GABUNGAN Perikatan Nasional (PN) dicadangkan menjadi satu gabungan rasmi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, cadangan itu perlu sebagai langkah persediaan menghadapi Pakatan Harapan (PH) sekiranya pilihan raya umum (PRU) diumumkan oleh Perdana Menteri pada bila-bila masa sahaja.

"Itu memang persetujuan kita, Muafakat Nasional mestilah bersama PN untuk PRU nanti.

"Malah, kita dalam Umno, PAS baik parti lain di dalam PN sentiasa bersedia jika Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tarikh PRU15 pada bila-bila masa sahaja, sebab dari dahulu lagi kita sudah bersedia untuk itu.

"Sekarang ini kita lihat yang mudah sahaja, apabila rakyat ditipu maka kita lihat sahajalah pada PRU nanti," katanya ketika ditemui di Alor Tampang, Beseri, Padang Besar, hari ini.

Mengulas tindakan PAS yang akan mengemukakan usul undi percaya terhadap kepemimpinan Muhyiddin pada 13 Julai ini, Zahidi berkata, ia dilihat perlu bagi menstabilkan suasana politik semasa.

Menurutnya, beliau secara peribadi bersetuju sekiranya usul terbabit dibawa ke dalam Dewan Rakyat yang bakal bersidang pada Julai hadapan.

"Usul ini sebagai penanda sama ada PN ini diterima oleh rakyat atau sebaliknya di dalam Parlimen.

"Jika ia tidak diterima (tiada sokongan), kita adakan sahajalah PRU semula tapi jika ada sesetengah pihak yang masih berangan untuk kembali kepada kerajaan terdahulu, memang PRU sajalah jalan terbaik," katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2020 @ 1:44pm
d