mutakhir

Kaedah pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo dikaji semula

Oleh Norsyazwani Nasri

KEMENTERIAN Kerja Raya mengkaji semula kaedah pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak dan Sabah yang tertangguh disebabkan perubahan kerajaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, buat masa ini kaedah baru itu belum dimuktamadkan dan masih dalam perbincangan di peringkat kementerian.

"Kita akan meneruskan pelaksanaan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo selepas penamatan perkhidmatan Rakan Pelaksana Projek (PDP) dengan merujuk kepada Kabinet terlebih dahulu.

"Selepas ini Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan dilantik menjadi pelaksana utama projek ini bagi mempercepatkan projek yang tertangguh itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Menaiktaraf Laluan 8101 Jalan Datuk Mohd Musa di Kota Samarahan, hari ini.

Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur Datuk Julaihi Narawi dan Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang.

Menjelas lanjut, katanya, projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo merangkumi meliputi 936 kilometer di Sarawak dan 727 kilometer di Sabah.

"Di Sarawak pelaksanaan projek ini sudah siap sebanyak 50 peratus setakat ini.

"Pembinaan sudah mula balik mengikut kepatuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan pada masa ini, malah kita menghormati keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini," katanya.

Mengenai projek menaiktaraf Jalan Datuk Mohd Musa Laluan 8101 Kota Samarahan, katanya, projek sepanjang 11.6 kilometer bernilai RM180 juta itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Disiarkan pada: June 27, 2020 @ 2:16pm
d