mutakhir

DBKL tawar 1,000 kiosk untuk peniaga [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

LEBIH 1,000 kiosk yang dikenal pasti di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya disediakan kepada mereka yang berminat untuk berniaga termasuk individu yang hilang pekerjaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, Program Galakan Usahawan Muda Kota itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan orang ramai boleh memohon mulai 1 Julai ini.

Beliau berkata, kiosk berkenaan disediakan termasuk dalam pusat beli-belah Berjaya Times Square, bangunan milik MARA dan kawasan strategik yang menjadi tumpuan pelancong.

"Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak di kalangan kita (rakyat) yang diberhentikan kerja menyebabkan mereka hilang mata pencarian.

"Kita faham di Kuala Lumpur dan Putrajaya, peluang mencari rezeki terbuka luas. Namun saya akui ada sedikit sebanyak kesukaran disebabkan peraturan ketat dan kawalan tempat perniagaan

"Dalam situasi sekarang, saya dengan bantuan beberapa agensi dan pegawai di kementerian merangka satu program atau kaedah di mana lebih 1,000 lokasi sesuai dijadikan tempat perniagaan kiosk yang strategik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Perusahaan Akok Pok Long di Kampung Padang Mengkali, Kota Bharu, hari ini.

Annuar berkata, lokasi yang dikenal pasti itu dengan sebahagiannya kiosk sudah siap dibina oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Justeru, sesiapa yang mahu berniaga atau memilih mana-mana kiosk sama ada kecil atau besar boleh membuat permohonan mulai 1 Julai ini dengan pembayaran sewa sangat minima.

"Namun, kita tegaskan mana-mana individu yang menyewa supaya tidak mengambil keuntungan atas angin dengan menyewakan semula kiosk berkenaan kepada individu lain.

"Apa yang kita mahukan mereka yang berminat berniaga atau hilang pekerjaan kembali mampu mencari sumber pendapatan dengan berniaga," katanya.

Katanya, pada masa sama pihaknya mahu peniaga sentiasa menjaga kebersihan dan menghias kiosk berkenaan bagi mencantikkan lagi Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: June 27, 2020 @ 2:22pm
d