mutakhir

APM hantar pesakit obesiti ke hospital

Oleh Nur Izzati Mohamad

PESAKIT obesiti seberat 200 kilogram (kg) dikejarkan ke Hospital Kepala Batas (HKB) dengan bantuan lori tiga tan disediakan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), semalam.

Pegawai APM Unit Kepala Batas, Leftenan (PA) Noor Mohd Saidi Noor Lajis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.50 pagi memaklumkan lelaki dari Permatang Manggis, Kepala Batas yang mempunyai penyakit asma mengalami kesukaran bernafas.

"Pasukan perawatan awal APM Kepala Batas tiba di lokasi pada 11.06 pagi semalam dengan ambulans, dan mendapati mangsa mempunyai masalah obesiti.

"Justeru, pasukan menghubungi Pusat Kawalan Operasi Unit (PKOU) untuk mendapatkan bantuan lori bagi membawa mangsa ke hospital," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pihaknya membabitkan seramai 13 anggota mengambil masa selama 35 minit untuk membantu mengangkat mangsa dari rumah hingga ke hospital.

"Mangsa selamat tiba di hospital dan kini mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2020 @ 3:20pm
d