mutakhir

Tiga ditahan edar ganja

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis ganja selepas menahan tiga individu pada dua serbuan berasingan, Ahad dan Selasa lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pada serbuan pertama, pihaknya menahan lelaki berusia 28 tahun di Kampung Baru, 11.45 malam.

"Pemeriksaan ke atas suspek menemui ganja seberat 205 gram. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif ganja.

"Susulan penahanannya, kami menahan dua lagi suspek berusia 40 dan 41 tahun, termasuk wanita, di kawasan parkir sebuah kondominium di Jalan Pinang, Selasa lalu," katanya pada kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, pemeriksaan terhadap kereta dinaiki suspek membawa kepada penemuan 2.7 kilogram (kg) ganja dan 24 bekas biskut berisi 2.5 kg cecair ganja.

"Polis turut merampas wang tunai RM1,000 daripada suspek wang hasil jualan dadah itu.

"Hasil siasatan, kami menyerbu sebuah rumah di Alam Budiman, Shah Alam, Selangor dan menemui 4.1kg ganja serta 173 gram minyak ganja," katanya.

Menurut Mazlan, pihaknya turut merampas sebuah Perodua Axia, sebuah van Daihatsu, wang RM2,000, 515 keping bar emas dan 400 keping bar perak.

"Jumlah keseluruhan ganja dirampas ialah RM17,120, nilai keseluruhan barang rampasan ialah RM456,834.

"Dua suspek lelaki direman sehingga 30 Jun ini manakala suspek wanita direman sehingga 27 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2020 @ 5:56pm
d