mutakhir

Buka sempadan secara berperingkat

Oleh Adnan Ibrahim

SEMPADAN Malaysia-Singapura akan dibuka secara berperingkat dan bergantung kepada tahap keselamatan serta kesihatan kedua-dua negara.

Menteri Luar Datuk Seri Hishamuddin Hussien berkata, kategori pertama dan kedua iaitu sektor profesional membabitkan kira-kira 25,000 rakyat Malaysia yang tinggal di negara itu dan tidak dapat pulang ke negara ini lebih tiga bulan.

Katanya, kumpulan ini akan diberi keutamaan dalam peringkat pengumuman dan penyelesaian dalam masa terdekat.

"Bagaimanapun bagi kategori ketiga dan empat, babitkan 200,000 hingga 250,000 pekerja harian perkara perlu difikirkan adalah kemampuan untuk membuat saringan kerana ia sudah pasti memerlukan masa agak panjang," katanya.

Hishamuddin berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyerahan Kit Covid-19 di Dewan Semarak, Felda Kahang Timur, Kluang hari ini.

Menurut Hishamuddin, sekiranya pelaksanaan pembukaan sempadan bagi ketiga-tiga kategori itu berjalan lancar, kategori keempat membabitkan pembukaan sepenuhnya sempadan juga tidak akan menghadapi masalah.

Dalam pada itu, Hishamuddin yang juga ahli parlimen Sembrong akan menghubungi rakan sejawat, Vivian Balakrishnan Isnin ini bagi membincangkan perkembangan lanjut pembukaan sempadan bagi kedua-dua kategori itu.

"Semua keputusan juga bergantung kepada persetujuan pelbagai pihak termasuk kementerian kesihatan kedua-dua negara," katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2020 @ 6:06pm
d