mutakhir

Kerajaan tidak lupa bantu OKU

Oleh Mohd Rafi Mamat

KERAJAAN akan menubuhkan Yayasan Pembangunan Orang Kurang Upaya Negara untuk membela nasib golongan terbabit dalam pelbagai perkara.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, nasib golongan orang kurang upaya (OKU) sentiasa mendapat perhatian kerajaan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.

Katanya, yayasan berkenaan akan berperanan memantau termasuk membantu golongan terbabit dalam memastikan mereka mendapat pembelaan sewajarnya.

"Kini terdapat kira-kira 540,000 golongan OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seluruh negara, namun dipercayai masih ramai lagi yang tidak berdaftar.

"Justeru, antara peranan utama Yayasan Pembangunan Orang Kurang Upaya Negara ialah mengesan dan mencari golongan OKU yang masih tidak berdaftar dengan JKM disebabkan pelbagai masalah.

"Nasib golongan OKU perlu dibela dengan menyediakan pelbagai bantuan, ia tidak hanya membabitkan bantuan sara hidup setiap bulan sahaja tetapi membabitkan peralatan, latihan dan sebagainya," katanya ditemui pada lawatan kerja ke JKM Pahang di Kuantan, semalam.

Hadir sama, Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainal Abidin.

Beliau turut melawat Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Tunas Sri Teruntum yang menyediakan latihan kemahiran jahitan dan membuat kek serta pastri kepada 30 OKU.

Menurutnya, yayasan itu bukan diterajui pihak kerajaan sahaja tetapi turut akan dianggotai pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) mahupun sukarelawan.

"Kita berharap lebih ramai OKU dapat dikesan seterusnya menerima kemudahan serta bantuan yang disediakan kerajaan, dan nasib mereka akan terbela," katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2020 @ 7:12pm
d