mutakhir

Lumpur halang laluan kenderaan

Oleh Recqueal Raimi

HUJAN lebat sejak 3 petang hari ini disusuli kejadian tanah runtuh menyebabkan berlaku banjir lumpur di Jalan Ranau Bypass di Kampung Lingkubang di Kota Belud.

Difahamkan, tanah runtuh yang berlaku pada 5 petang itu menyebabkan laluan sepanjang 30 meter dilitupi lumpur mencecah 0.3 meter.

Ia menyebabkan laluan berkenaan terpaksa ditutup kepada lalu lintas.

Keadaan itu turut menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas lebih lima kilometer di kedua-dua arah.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Lingkubang Ailing Yatin berkata, kejadian tanah runtuh turut berlaku di Jalan Malangkap-Kampung Lingkubang yang juga menyebabkan laluan ditutup sepenuhnya.

Menurutnya, lebih 30 kenderaan di kedua-dua arah terpaksa berpatah balik ke Kota Kinabalu selain ada yang terpaksa meninggalkan kenderaan di tepi jalan sebelum berjalan kaki ke Kampung Lingkubang dan Kampung Bundu Paka.

"Sehingga ini, hujan masih melanda dan banyak pokok tumbang menyebabkan penduduk tidak berani keluar rumah."

"Sebahagian penduduk yang ingin pulang kampung juga terpaksa berpatah balik ke Kota Kinabalu," katanya.

Menurutnya, air Sungai Kadamaian juga melimpah dan penduduk bersedia berpindah sekiranya ia tidak terkawal.

Terdahulu, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kota Belud Sim Pau Kiong berkata, syarikat konsesi diarahkan ke lokasi untuk memantau keadaan.

"Sebaik pemeriksaan lokasi dijalankan, tindakan susulan akan segera dijalankan untuk membersihkan laluan," katanya dihubungi.

Disiarkan pada: June 27, 2020 @ 10:22pm
d