mutakhir

Semoga ada sinar buat Che Mariam

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

PENDERITAAN wanita warga emas yang menghidap kanser mata sejak setahun lalu mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang datang melawatnya, semalam.

Ketumbuhan pada mata kanan Che Mariam Idris, 66, yang juga ibu tunggal kini membesar sehingga menutupi bola matanya.

Pada awal tahun lalu, ketumbuhan itu hanya sebesar saiz biji kacang, namun saiznya kini seperti bola tenis dalam tempoh dua hingga tiga bulan.

Che Mariam pernah mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, namun dia enggan meneruskan rawatan meskipun beberapa kali dipujuk oleh anak-anaknya.

Anaknya, Mohamad Saupi Yusof, 36, berkata Rina mencadangkan doktor datang ke rumah untuk memeriksa keadaan mata ibunya kerana wanita itu enggan pergi ke hospital.

"Ibu bersetuju supaya doktor datang memeriksa keadaan matanya dan kami adik beradik amat berharap ibu mahu mendapatkan rawatan di hospital kerana ketumbuhan pada mata kanannya semakin membesar.

"Bagi memastikan tidak ada jangkitan, saya akan mencuci luka di mata kanan ibu sebanyak tiga kali sehari menggunakan kapas dan juga air suling yang dibeli di farmasi.

"Setakat ini, ibu tidak pernah membuat rawatan lanjut termasuk kimoterapi sebaliknya hanya mendapatkan khidmat perubatan tradisional bagi merawat penyakit itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Rina berkata, beliau bersimpati melihat keadaan mata kanan Che Mariam yang bengkak serta perlu dibedah segera lalu memujuknya untuk mendapatkan rawatan di hospital.

"Che Mariam perlu menjalani pembedahan segera untuk membuang bengkak di mata kanannya akibat kanser, malah dia juga merungut pedih kerana luka di matanya itu perlu dicuci setiap hari.

"Saya berharap Che Mariam dapat meneruskan rawatan semula di hospital, dan mendoakan semoga dia segera sembuh daripada penyakit yang dihidapinya," katanya.

Terdahulu, Rina mengunjungi Che Mariam di Kampung Baru Pantai Mek Mas, Kota Bharu, selain menziarahi pesakit darah tinggi Ramlah Noor, 74, yang terlantar sejak setahun lalu.

Dalam lawatan berkenaan, beliau turut menyampaikan sumbangan barangan makanan asas dan wang tunai bagi meringankan beban keluarga terbabit.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup dan Pengarah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Zon Timur, Zahimi Mohamad.

Disiarkan pada: June 28, 2020 @ 2:16pm
d