mutakhir

Semoga Wawa segera sembuh

Oleh Nor Farhani Che Ad

DARIPADA seorang gadis yang periang dan lincah, penyakit kanser darah yang dihidapi sejak dua tahun lalu mengubah seluruh kehidupan Nor Fatin Azwa Abdullah, 18.

Penyakit itu turut menyebabkan Nor Fatin Azwa atau mesra dengan panggilan Wawa tidak lagi mampu bertutur dan menguruskan diri.

Ibunya, Noraini Mansor, 48, berkata, anak kedua daripada empat beradik itu mula dikesan mengidap kanser darah ketika menuntut di tingkatan empat apabila sering kelihatan pucat dan mengadu sakit dalam perut.

"Sebelum itu, saya menyedari Wawa selalu nampak pucat dan letih, saya tidak mengesyaki apa-apa, saya fikir mungkin dia penat melakukan aktiviti di sekolah.

"Sehinggalah satu hari dia mengadu sakit di dalam perut menyebabkan saya segera membawanya ke klinik dan dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani sebelum dia disahkan mengidap kanser darah," katanya ketika ditemui di kediaman mereka sempena Lawatan Ziarah Kasih di Kampung Titi Terus, Guar Chempedak, Gurun.

Noraini berkata, akibat penyakit itu, Wawa disahkan mengalami gangguan saraf menyebabkan dia tidak mampu bergerak dengan normal serta tidak mampu bertutur.

Katanya, dia kini hanya berinteraksi dengan ahli keluarga yang lain menggunakan telefon bimbit yang dibeli suaminya, Fuzi Bakar, 56, yang juga bapa tiri kepada Wawa setiap kali ingin meminta sesuatu.

Noraini berkata, dia bersyukur biarpun hanya berstatus bapa tiri kepada Wawa, suaminya rela berhabis wang demi memastikan anaknya itu kembali sembuh.

"Suami hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji sekitar RM1,300 sebulan, namun dia sanggup melakukan apa saja demi kesembuhan Wawa.

"Selain perlu menampung kos rawatan Wawa yang bernilai lebih RM500 sebulan termasuk berulang-alik ke hospital dengan perkhidmatan Grab kerana kami tidak mempunyai kereta serta lampin pakai buang, kami turut mempunyai dua lagi anak yang masih bersekolah," katanya.

Dia berkata, selain menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan bagi skim Orang Kurang Upaya (OKU), dia turut mengambil upah mencucuk sate dengan bayaran RM25 bagi 1,000 cucuk sate bagi menampung kos rawatan anaknya itu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara, Maznah Tayib berkata, pihaknya menyampaikan sumbangan dalam bentuk keperluan makanan dan kewangan bagi meringankan beban keluarga Wawa.

"Dalam lawatan ini kita melawat lima pesakit kanser kanak-kanak serta seorang pesakit lama di sekitar Kedah dari keluarga B40.

"Sepanjang lawatan, kita meluangkan masa bersama pesakit dan keluarga dengan memberi sokongan selain kita melihat keperluan pesakit yang tidak dapat dipenuhi untuk kita cuba bantu melalui bantuan kewangan yang kita ada," katanya.

Disiarkan pada: June 28, 2020 @ 2:56pm
d