mutakhir

Masalah rakyat bekerja di Singapura jangka selesai lepas pilihan raya

Oleh Adnan Ibrahim

MASALAH perjalanan 200,000 hingga 250,000 rakyat negara ini yang berulang-alik bekerja di Singapura dijangka dapat diatasi selepas pilihan raya umum negara berkenaan pada Julai ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Muhammad berkata, kerajaan negeri sedang berbincang dengan kerajaan pusat bagi memperhalusi langkah yang perlu dilakukan untuk mengatasinya masalah itu.

Katanya, ia tidak hanya membabitkan mereka yang bekerja secara harian malah merangkumi 25,000 rakyat yang masih terkandas di sana.

"Bagaimanapun, perbincangan sedang berjalan dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah memberikan jaminan bahawa sempadan kedua-dua negara ini akan dibuka segera," katanya ketika hadir dalam lawatan kerja ke Kluang dan penyampaian sijil penghargaan kepada petugas barisan hadapan Covid-19 di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan Datuk Ibrahim Majid, Simpang Renggam, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya, Mazlan Bujang dan Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu.

Semalam, Menteri Luar Datuk Seri Hishamuddin Hussein dilaporkan berkata, beliau akan menghubungi rakan sejawat, Vivian Balakrishnan, Isnin ini bagi membincangkan perkembangan lanjut pembukaan sempadan bagi kedua-dua negara ini.

Dalam pada itu, Hasni berkata, kerajaan negeri kehilangan kira-kira 20 peratus kutipan hasil akibat daripada Covid-19.

Katanya, keadaan ini berlaku apabila pemaju, syarikat pembekal bahan binaan serta sektor ekonomi yang sebelum ini membayar cukai dikecualikan bayaran agar dapat merancakkan semula ekonomi negeri.

"Keadaan ini bukan sesuatu yang mudah apatah lagi dengan kelembapan ekonomi negara jiran (Singapura) yang turut terkesan akibat penularan wabak berkenaan hingga menyebabkan kita berhadapan dengan tiga kali ganda kesannya berbanding negeri lain.

Disiarkan pada: June 28, 2020 @ 3:08pm
d