mutakhir

Covid-19: Tiada kes membabitkan warga tempatan hari ini

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

TIADA penularan jangkitan Covid-19 berlaku dalam kalangan warga tempatan hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 18 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 8,634 kes setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat daripada kes baharu itu adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu tiga membabitkan rakyat Malaysia dan seorang bukan warganegara yang bermastautin atau dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja.

Katanya, daripada 14 kes penularan dalam negara, tiada kes jangkitan dalam kalangan warganegara Malaysia.

"Perincian kes dalam kalangan bukan warga negara adalah sembilan kes dilaporkan di Negeri Sembilan daripada saringan ulangan kluster Pedas dan dua kes saringan kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) Sepang.

"Dua kes di Sabah iaitu satu kes saringan banduan sebelum dibebaskan dari penjara dan satu kes jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dari Klinik Kesihatan ke hospital.

"Manakala satu kes di Kuala Lumpur iaitu saringan masuk kerja di tapak pembinaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai kes pulih, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 10 kes pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya 8,318 kes iaitu 96.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Bilangan kes aktif kebolehjangkitan Covid-19 adalah 195 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

"Adalah dimaklumkan, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian kekal 121 kes iaitu 1.40 peratus daripada keseluruhan kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 28, 2020 @ 6:13pm
    d