mutakhir

Tiada brek, khayal dadah di LPT [METROTV]

Oleh Roselan Ab Malek

MENGGUNAKAN motosikal tanpa brek belakang dan menunggang di bawah pengaruh dadah serta ketum antara yang dikesan polis dalam Ops Tutup Khas di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Temerloh hari ini.

Kesalahan itu dikesan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman yang bermula 2 hingga 5 petang itu.

Timbalan Pengarah 1 Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Traffik (JSPT) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Nazri Huzin berkata,

pihaknya kesal apabila ada penunggang yang sanggup menunggang motosikal tanpa brek belakang.

Menurutnya, ia boleh membahayakan diri mereka sendiri dan juga pengguna lebuh raya yang lain.

Katanya, sebanyak 358 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan pihaknya di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan Chenor di LPT.

"Seramai 600 penunggang motosikal diperiksa dan 20 motosikal terpaksa disita atas pelbagai kesalahan seperti lesen dan cukai jalan tamat tempoh, melakukan pengubahsuaian terhadap motosikal hingga boleh mendatangkan bahaya kepada penunggang dan pengguna jalan raya yang lain.

"Tiga penunggang turut dikesan menunggang di bawah pengaruh dadah dan ketum manakala tujuh penunggang didapati melanggar kesalahan alam sekitar," katanya.

Menurutnya, operasi itu diadakan kerana LPT dikesan menjadi laluan popular bagi kumpulan bermotosikal dari Lembah Klang untuk berkonvoi setiap hujung minggu.

Katanya, mereka berkonvoi untuk untuk ke Temerloh atau Kuantan dan apabila pulang ada yang mengambil kesempatan berlumba dan menunggang secara merbahaya

Operasi itu membabitkan seramai 12 pegawai dan 52 anggota polis, seorang pegawai dan lima anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta dua pegawai dan lapan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Disiarkan pada: June 28, 2020 @ 8:23pm
d