mutakhir

Mat rempit dipenjara, didenda angkara aksi 'Superman' [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

EMPAT mat rempit termasuk dua remaja bawah umur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Berang hari ini terhadap pertuduhan menunggang secara berbahaya di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) pada pertengahan bulan ini.

Tertuduh, Muhammad Zamri Zahari, 29, dan Mohamad Shahril Izwan Saidenar, 25, bersama dua rakan mereka berusia 18 serta 19 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, mereka didakwa menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya bermula dari Kilometer (KM) 420 hingga KM 411 LPT2 arah Telemong-Bukit Besi, 11.49 pagi pada 19 Jun lalu.

Engku Nurul Ain kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Muhammad Zamri dan Mohamad Shahril Izwan.

Mereka turut didenda masing-masing RM5,000 atau tiga bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Dua tertuduh itu turut hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Sementara itu, Engku Nurul Ain membenarkan dua tertuduh bawah umur diikat jamin sebanyak RM3,000 dan RM4,000 dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan 27 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak tertuduh.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Tuan Rosnah Tuan Husain.

Sebelum ini, media melaporkan hasrat sekumpulan lelaki menunggang motosikal dari Kelantan ke Kuala Berang untuk menikmati hidangan ikan baung terbantut apabila mereka ditahan gara-gara melakukan aksi 'Superman'.

Aksi berbahaya itu disedari anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu ketika melakukan Ops Samseng Jalanan di Plaza Tol Gemuroh, LPT2 pada 12 tengah hari.

Berita berkaitan

Enam 'superman' kena tahan

Disiarkan pada: June 28, 2020 @ 8:47pm
d