mutakhir

DBKL gempur premis warga asing

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

DUA kedai jahit yang dikendalikan warga asing di Plaza Idaman, Kuala Lumpur digempur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

DBKL menerusi kenyataannya di Facebook memaklumkan, seramai lima anggota penguat kuasa DBKL melakukan pemeriksaan terhadap premis yang menjalankan perniagaan tanpa kebenaran di kawasan itu.

"Pemeriksaan di bangunan itu mendapati dua premis menjahit pakaian yang dikendalikan warga asing.

"Premis pertama dikendalikan tiga lelaki warga Somalia manakala premis kedua dikendalikan oleh seorang lelaki warga Yaman," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan, kesemua mereka adalah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Katanya, kedua-dua premis berkenaan disita dan kes disiasat mengikut Seksyen 101(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

DBKL meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perniagaan dijalankan warga asing tanpa kebenaran supaya menghubungi Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1800 88 3255 atau ke Pejabat Cawangan DBKL berhampiran.

Disiarkan pada: June 28, 2020 @ 9:19pm
d